Kehidupan Seorang Blogger : Ben Ashaari


MEMBASUH dan menyidai pakaian antara rutin harian yang dilakukan oleh blogger terkenal ini.



RUTIN harian lelaki ini bermula dengan menunaikan solat Subuh. Selepas bersembahyang, dia tidak pernah lupa untuk berdoa agar perjalanan hidup serta rezeki yang diperoleh mendapat keredaan Allah SWT.

Selepas itu, blogger terkenal Ben Ashaari atau nama sebenarnya Salbani Ashaari, 36, memakai pakaian sukan untuk berjoging di sekitar kawasan perumahannya di Putrajaya.

“Lelaki yang menjadi suri rumah tangga pun perlu menjaga stamina dan kekal aktif walaupun kebanyakan masa dihabiskan di dalam rumah sahaja,” kata lelaki berbadan sasa ini.

Sejak awal tahun ini, Ben mengambil keputusan berhenti kerja sebagai kakitangan kerajaan untuk menjadi blogger sepenuh masa. Tindakan itu juga bermakna dia perlu menjadi seorang suri rumah lelaki.

“Idea itu kedengaran agak ganjil. Isteri saya juga agak keberatan apabila saya meluahkan hasrat itu.

“Dia risau memikirkan pandangan jiran-jiran, keluarga dan masyarakat sekeliling kerana budaya di negara ini ialah lelaki mesti keluar bekerja dan bukan duduk menjaga anak di rumah,” katanya sambil tangannya pantas menyediakan susu untuk anaknya, Qhaliff yang baru berusia dua bulan.

Gaji

Ben memberitahu, ramai rakan sekerja turut mempersoalkan tindakannya berhenti kerja itu.

“Pelbagai pendapat yang mereka berikan, seperti ramai orang lain di luar sana yang ingin menjadi kakitangan kerajaan tetapi tidak berpeluang.

“Saya pula selepas tujuh tahun bekerja sebagai penolong pegawai tadbir sebuah agensi kerajaan sebelum mengambil keputusan berhenti,” katanya.

Bagaimanapun, Ben berterus terang mengatakan pendapatan yang diperolehnya kini lebih banyak daripada gajinya sebelum ini.

Dia memperoleh pendapatan daripada pengiklan yang membeli ruang iklan di laman blognya selain ulasan produk seperti kereta dan barangan rumah yang dibuat Ben.

“Saya tidak pernah mengambil kesempatan dengan gaji isteri. Segala perbelanjaan seperti sewa rumah, kereta dan perbelanjaan dapur saya yang membayarnya,” katanya.

Ben memberitahu, di luar negara ramai blogger yang berhenti kerja kerana mahu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada bidang tersebut.

“Namun di Malaysia, perkara ini masih baharu dan belum mennyeluruh. Ada juga orang yang masih tidak tahu makna blogger,” ujarnya.

Aktiviti Ben sebagai seorang suri rumah lelaki bermula sebaik sahaja dia habis berjoging. Dia akan memandikan Qhaliff, menyediakan susu serta memakaikan anaknya lampin dan pakaian.

Sebaik sahaja si kecil tidur, Ben menyambung kembali tugasan rumahnya seperti menyapu sampah, mengemas ruang tamu, dapur dan bilik tidur.

Kemudian, dia akan membasuh baju dan menyidai pakaian tersebut. Semua tugas itu akan diulangi setiap hari kecuali pada hujung minggu kerana tugas itu akan diambil alih oleh isterinya.

Ben jarang memasak kerana dia tidak berkira dengan makanan.

“Asalkan makan sudah mencukupi walapun sekadar nasi berlaukkan telur goreng. Ada masa tertentu sahaja saya akan makan di restoran untuk bertukar cita rasa,” katanya.

Selepas hampir enam bulan menjadi blogger dan suri rumah lelaki, Ben bersyukur pandangan individu lain terhadapnya mula berubah.

“Mungkin mereka kurang yakin kerja menulis blog boleh menjana pendapatan tetapi saya telah membuktikannya.

“Selain itu, saya juga boleh menyelesaikan tugasan seharian dengan baik di samping dapat membantu isteri,” ujarnya.

Jelasnya, keadaan itu lebih baik berbanding seorang suami yang bekerja daripada siang hingga lewat malam tetapi pulang ke rumah hanya untuk tidur dan berehat.

“Kadangkala kebajikan anak terabai. Lebih buruk lagi apabila mereka gemar keluar bersama rakan-rakan berbanding duduk di rumah khususnya pada hujung minggu.

“Saya sebaliknya dapat menghabiskan banyak masa berkualiti bersama isteri dan anak,” katanya yang tidak berasa kemegahan dan ego seorang lelaki tercalar hanya disebabkan kesediaannya bergelar suri rumah.


WALAUPUN bergelar suri rumah, Ben hanya tidur selama tiga jam sehari.


Seronok
Tutur Ben, dia juga tidak perlu mengisi borang cuti, menunggu pengumuman pemberian bonus dan bekerja lebih masa.

“Saya boleh bercuti pada bila-bila masa. Walaupun pendapatan yang diperoleh tidak tetap namun cukup untuk menampung perbelanjaan seharian,” katanya. 

Kini, dia mampu berbangga kerana blognya, www.benashaari.com telah mempunyai lebih 20,000 pengikut selain dilayari oleh 4,000 orang sehari.

Blog Ben berkisar kehidupannya seharian, ulasan produk serta barangan rumah dan isu-isu semasa.

“Saya mula serius dengan dunia blog sejak tiga tahun lepas. Dahulu, saya akan mengemas kini blog hingga 10 kali dalam sehari tetapi kini enam kali sahaja.

“Saya sibuk dengan kerja selain menguruskan rumah tangga,” katanya yang gemar pergi ke pasar raya untuk membeli barang keperluan anaknya.

Ben juga dapat pulang ke kampung isterinya di Kelantan secara lebih kerap, begitu juga rumah keluarganya di Cheras, Kuala Lumpur.

“Saya seronok dapat memegang dan memangku anak setiap hari. Qhaliff lebih rapat dengan bapanya tetapi tidak sekali-kali peranan ibunya digantikan.

“Lelaki yang ingin menjadi suri rumah sebaik-baiknya mempunyai pendapatan sendiri selain bersedia dari segi mental serta fizikal,” kata Ben yang asyik mengemas kini blognya menerusi telefon pintar HTC miliknya.
 
sumber: Kosmo

0 ulasan:

Catat Ulasan

Setiap ulasan pengguna admin tidak akan bertanggung jawab.

Best Viewed With Firefox