Malaysia Pusat Keluar Bateri Kereta Elektrik



Mitsubishi Motors rancang turunkan kos guna komponen tempatan

Mitsubishi Motors Malaysia Sdn Bhd sedang berunding dengan syarikat induknya, Mitsubishi Motor Corporation (MMC) untuk menjadikan negara ini sebagai antara pusat bagi pengeluaran bateri lithium-ion untuk kereta elektrik (EV).

Ketua Projek Kanan di Pejabat Ketua Eksekutifnya, Hoffen Teh, berkata rancangan menjadikan Malaysia sebagai pusat pengeluaran bateri lithium-ion itu bertujuan menurunkan lagi harga kereta yang dijana kuasa elektrik.

Guna komponen tempatan

"Kereta Mitsubishi i-MiEV yang dilancarkan semalam yang dijual pada harga RM136,118 seunit adalah kenderaan yang dipasang sepenuhnya (CBU) dari Jepun. Baterinya, iaitu antara komponen kos terbesar dalam penghasilan EV itu turut dipasang dan dikeluarkan di negara matahari terbit itu.

“Kami melihat wujud kemungkinan untuk menurunkan lagi kosnya, yang mana salah satu daripadanya ialah menerusi penggunaan komponen tempatan.

“Justeru, kami kini sedang berunding dengan MMC bagi mencari jalan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pengeluaran bateri lithium-ion,” katanya kepada media selepas pelancaran Mitsubishi i-Miev di Kuala Lumpur semalam.

Dengan pelancaran itu, Mitsubishi i-MiEV, kereta empat tempat duduk yang dijana 100 peratus tenaga elektrik itu kini muncul sebagai EV pertama yang dijual secara komersial di Malaysia.
i-Miev, kenderaan mesra alam dengan gabungan pemanduan yang lebih menjimatkan itu dijana oleh pek bateri lithium-ion yang memacu sebuah motor elektrik bermagnet kekal.

"Kami sedang berunding dengan MMC bagi mencari jalan untuk menjadikan Malaysia pusat pengeluaran bateri lithium-ion"

Hoffen Teh,
Ketua Projek Kanan di Pejabat Ketua Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia

Bateri berkuasa 330 volt dan boleh dicaj semula dengan cara iaitu biasa atau cepat itu disimpan dalam pek bateri kalis air yang diletakkan di bawah lantai kenderaan, manakala motornya pula berada di bawah ruang simpanan barangan di belakang.

Bagi pengecas biasa, ia hanya menggunakan tenaga elektrik rumah dengan mengambil masa lapan jam, manakala bagi pengecas cepat pula ia hanya mengambil masa 30 minit untuk kapasiti bateri sehingga 80 peratus.

Kenderaan kecil yang sesuai bagi pemanduan bandar itu mampu menghamburkan kuasa output 49 kiloWatt (kW), manakala tork mencapai sehingga 180 Nm.

Jentera yang diperkenalkan untuk pasaran dunia empat tahun lalu itu mampu dipandu sejauh 150 kilometer (km) bagi setiap cas penuh dan boleh memecut sehingga 150 kilometer sejam (km/j).
Sempena pelancaran rasminya semalam, pelanggan bakal menikmati pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun atau 100,000 kilometer, meliputi kos buruh bagi pemeriksaan kenderaan berkala, penghawa dingin dan cecair brek.

Antara ciri dalaman menarik yang ada pada i-Miev, termasuk sistem hiburan skrin sesentuh dengan navigasi GPS, kawalan penghawa dingin dan cahaya lampu secara automatik, lampu LED depan dan belakang berkembar, stereng kawalan elektrik dan penukar tombol gear dengan kemasan kulit serta kabel pengecas dengan peti kawalan.
 

0 ulasan:

Catat Ulasan

Setiap ulasan pengguna admin tidak akan bertanggung jawab.

Best Viewed With Firefox