CPU/Komputer Mirip Otak Manusia Mungkin Dicipta

Rekaan seperti komputer mirip otak manusia, pengesan cap jari yang lebih tepat dan bentuk pesawat diilhamkan daripada ikan paus: ini adalah beberapa perkara yang boleh jadi kenyataan kerana kajian yang sedang giat dilakukan dalam bidang optik dikenali sebagai Nanophotonik.

Seorang penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Pankaj Kumar Choudhury berkata nanophotonik membolehkan cahaya digunakan pada tahap nano untuk memindahkan data antara komputer dan alat komunikasi pada had laju yang amat tinggi daripada apa yang terdapat sekarang.

Prof Choudhury dari Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN) berkata komunikasi berdasarkan atom dan zarah asas cahaya, atau foton akan menggantikan komputer sedia ada bagi pemprosesan data digital dan jaringan.
Beliau berkata demikian ketika memberi syarahan umumnya di sini baru-baru ini yang berjudul Elektromagnet Mikro dan Struktur Nano: Laluan untuk Nanophotonik.

Nanophotonik atau Nano-optik ialah kajian tingkah laku cahaya pada skala sangat halus iaitu nanometer. (Satu nanometer bersamaan satu persejuta milimeter). Istilah ini biasanya merujuk kepada fenomena cahaya ultraungu dan cahaya infra merah (IR), dengan jarak gelombang kira-kira 300-1200 nanometer.Ia dianggap sebagai satu cabang kejuruteraan optik yang berkaitan dengan optik, atau interaksi cahaya dengan zarah atau bahan pada tahap yang lebih rendah daripada jarak gelombang cahaya.

Prof Choudhury berkata bentuk rangkaian kuantum mungkin akan menggantikan rangkaian komputer biasa tidak berapa lama lagi kerana kelajuannya yang lebih tinggi. Satu rangkaian kuantum adalah jaringan komputer yang lebih selamat daripada yang sedia ada yang menggunakan prinsip-prinsip sifat atom dan foton untuk mengawal maklumat. Foton telah dikenal pasti sebagai pembawa ideal untuk pengangkutan logik dari satu nod ke nod lain dalam rangkaian kuantum melalui pautan gentian optik (fiber-optic).

Dalam bidang sains forensik, nanophotonik digunakan untuk memperolehi bentuk cap jari. Jikalau hanya kesan cap jari dalam dua dimensi didapati dalam cara konvensional, satu teknik yang dikenali sebagai Sculptured Thin Films (STF) atau columnar thin films (CTF) yang terdiri daripada tiang bahan komposit pula boleh mengambil cap jari dalam tiga dimensi. Jari yang ditekan pada sensor mengandungi STF atau CTF akan menunjuk kesan yang lebih tepat yang memberikan maklumat lanjut mengenai cap kerana terdapat ketebalan cap jari. Ini dapat dilihat dengan menggunakan teknik fotografi yang sesuai.

Prof Choudhury juga menerangkan mengenai biomimetik, satu bidang di mana saintis cuba meniru kejadian alam untuk memperbaiki teknologi yang sedia ada. Beberapa contoh untuk penggunaan STFs yang dihuraikannya adalah:

1.  Membina rangkaian komputer yang mirip otak manusia menggantikan teknologi komputer       konvensional.
2.  Pembuatan cip semikonduktor yang diilhamkan oleh corak pada sayap rama-rama.
3.  Merekabentuk pesawat diilhamkan oleh sirip ikan paus.

Saintis dan jurutera kagum dengan kejadian di sekeliling mereka yang boleh mencetuskan usaha baru yang membawa kepada ciptaan baru juga.

STF yang digabungkan dengan bahan galian ulexite sedang dikaji untuk mewujudkan permukaan tiruan yang boleh menghantar imej televisyen. Ulexite adalah galian yang terdiri daripada serabut yang kelihatan seperti kaca dan lutsinar dari satu sisi tetapi tidak bila dilihat dari sudut lain.

Selain itu, STF juga boleh digunakan untuk meniru sifat-sifat mata lalat yang mengandungi banyak anak mata. Ini sangat berguna untuk membentuk banyak imej daripada pelbagai sudut.

Prof Choudhury dilantik profesor di IMEN pada tahun 2009. Beliau kini sedang menyelidiki Teori Pandu Gelombang (Waveguide) optik dan perambatan gelombang elektromagnetik, yang termasuk medium kompleks, gentian dan optik bersepadu, peranti gentian optik dan sensor. Beliau telah menerbitkan lebih 140 penerbitan penyelidikan.

Beliau adalah Ahli Kanan Institute of Electrical and Electronics Engineers (IEEE), Ahli Persatuan Optical Society of America (OSA), dan Ahli Society of Photo-Optical and Instrumentation Engineers (SPIE).








0 ulasan:

Catat Ulasan

Setiap ulasan pengguna admin tidak akan bertanggung jawab.

Best Viewed With Firefox