CPU Intel Diba­ngunkan Oleh Jurutera Malaysia

Cip Intel Core generasi keempat berasaskan mikroarkitektur ‘Haswell’ yang menggunakan tek­nologi pembangunan 22 nanometer (nm). Ia membawa kepada penghasilan baru komputer mudah alih dengan reka bentuk lebih nipis lagi menarik, ringan, sistem lebih selamat, operasi lebih pantas dengan kesepaduan grafik lebih bertenaga.

Di samping itu, ia dikategorikan sebagai pemproses yang kurang meng­gunakan tenaga untuk memacu pembangunan ultrabook hibrid yang lebih inovatif serta boleh diubah suai dengan prestasi yang dihasilkan mikroarkitektur Haswell.

Haswell diiktiraf antara cip mikroarkitektur terbaik yang pernah dikeluarkan Intel, namun kisah di sebalik pemba­ngunannya jauh lebih menakjubkan.

Dalam satu fakta yang tidak didedahkan sebelum ini, Haswell diba­ngunkan pasukan jurutera dari Malaysia dengan operasi pembikinannya dilakukan sepenuhnya di kilang Intel Pulau Pinang sambil dibantu pihak eksekutif Amerika Syarikat.

Pengurus Besar Kumpulan Arkitektur Intel, Christopher Kelly berkata, syarikatnya berbesar hati mengiktiraf bakat tempatan dalam membangunkan cip yang akan dipasarkan di seluruh dunia.

“Sudah lama jasa Intel berada di Pulau Pinang dan kami dapat mengesan bakat jurutera yang ada di negara ini,” katanya.

Sejumlah 60 jurutera tempatan mengambil bahagian dalam pembangunan Haswell yang dibangunkan 100 peratus di Pulau Pinang.

Malaysia sudah diiktiraf sebagai sebuah negara pe­ngeluar semikonduktor terkemuka di dunia. Malaysia juga diiktiraf sebagai salah sebuah negara yang berjaya menjalankan aktiviti pemasangan dan ujian dalam bidang litar bersepadu di samping sebagai pengeluar alat elektronik pengguna.

Jumlah eksport produk elektrik dan elektronik serta kejenteraan sentiasa berkembang dengan peningkatan peratusan tinggi setiap tahun.





1 ulasan:

Setiap ulasan pengguna admin tidak akan bertanggung jawab.

Best Viewed With Firefox