Bakteria Salmonella Punca Utama Keracunan Makanan

31 peratus kes keracunan makanan disebabkan bakteria bawaan makanan berpunca daripada Salmonella. Ia diikuti Listeria sebanyak 28 peratus, Campylobacter lima peratus dan E-coli tiga peratus. Meskipun bilangan kes bakteria bawaan makanan dirujuk secara global, peratusan kes yang dicatatkan di negara ini tidak banyak beza.

Malah, bakteria Salmonella menduduki tangga pertama dalam peratusan kes pencemaran makanan dan punca kebanyakan kes keracunan.

Persoalannya, apakah sebenarnya bakteria Salmonella dan mengapa ia perlu ‘ditakuti’ pengguna?

Salmonella adalah bakteria bawaan makanan yang menjadi penyebab utama kes keracunan makanan di negara ini.

Kesan infeksi bakteria itu membabitkan muntah-muntah, loya, cirit-birit dan juga kematian jika lewat dirawat.

Tragedi hidangan ayam masak merah yang meragut nyawa beberapa individu, baru-baru ini, pasti menjadi isu merisaukan banyak pihak.

Walaupun bakteria Salmonella itu disahkan terkandung pada ayam, kontaminasi bakteria ini boleh terjadi pada buah-buahan, sayuran, daging dan telur selain produk tenusu.

Secara semula jadi bakteria Salmonella memang ada pada ayam, namun bilangannya dapat dikurangkan dengan peningkatan tahap kebersihan ladang ternakan.

Sedang negara dibayangi kebimbangan isu Salmonella, penyelidik MARDI tampil dengan produk Kit Pengesan Pantas Bakteria Salmonella Bagi Produk Makanan.

Dikenali sebagai MicroTEZ, kit itu menjadi produk inovasi tempatan yang dibangunkan Pegawai Penyelidik Kanan MARDI, Noor Azlina Masdor.

Fasa pembangunan produk itu mengambil masa lima tahun untuk dibangunkan.

Dana penyelidikan bagi penghasilan kit itu pada awalnya diperoleh daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi geran IRPA sebelum diteruskan kepada fasa prapengkomersialan menerusi dana Technofund di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) berjumlah RM1.5 juta.

Kit ini sudah melepasi beberapa fasa prapengkomersialan dan bersedia untuk memasuki fasa pengkomersialan dengan kerjasama Syarikat One-Point Healthlab.

Noor Azlina berkata, pembiayaan projek itu adalah kesinambungan Projek IRPA kepada TechnoFund.

Tujuan utama pembiayaan projek di bawah TechnoFund bagi membangunkan produk ini daripada ‘skala makmal’ kepada ‘skala komersial’.

“Mungkin selepas ini, kami akan memindahkan teknologi penghasilan kit berkenaan kepada OPHL dan syarikat itu yang akan bertanggungjawab untuk menyambung proses penghasilan produk yang dibangunkan sebelum ini,” katanya.

Menyentuh mengenai idea menghasilkan produk inovasi itu, katanya kebanyakan makmal industri sebelum ini menggunakan kaedah mengesan bakteria Salmonella secara konvensional.

“Namun kaedah konvensional memerlukan masa yang agak panjang iaitu kira-kira lima hingga tujuh hari untuk mengesan bakteria ini,” katanya.

Meskipun terdapat pelbagai kit pengesan pantas komersial seumpamanya bagi mengesan pencemaran Salmonella, kit-kit ini perlu diimport dari luar negara dan terpaksa dijual dengan harga yang tinggi.

Kesannya, proses pengawalan keselamatan dan penyaringan produk makanan tidak mendapat perhatian serta diabaikan oleh pengusaha makanan.

Dengan pembangunan kit MicroTEZ hasil buatan Malaysia, ia bukan saja dapat menjimatkan kos import kit dari luar negara, malah harga kit dijual lebih murah.

Kesannya, pengusaha makanan dapat menggunakan kit ini bagi menyokong proses pengawalan keselamatan dan kualiti makanan mereka.

Mengulas lanjut mengenai Salmonella, katanya bakteria itu membiak dengan cepat terutama pada makanan yang dihidangkan separa masak.

“Masakan yang dimasak melebihi suhu 60 darjah Celsius ke atas dapat mematikan bakteria ini, tetapi ia masih boleh membiak jika masakan yang dimasak kurang sempurna atau terdedah kepada pencemaran.

“Papan pemotong sayur juga menjadi sarang pembiakan bakteria ini terutamanya jenis kayu. Bakteria ini akan bersarang pada permukaan yang sudah pecah dan mudah merebak pada makanan lain.

“Jadi kaedah paling utama mengawal bakteria ini adalah dengan mengamalkan aspek kebersihan,” katanya.

Berbanding kaedah konvensional katanya, kit MicroTEZ memberikan keputusan lebih singkat iaitu kurang daripada 15 minit selepas proses penyediaan sampel.

Sementara itu, Pengarah Urusan OPHL, Rahmah Ab Rahman berkata, kit dipasarkan syarikatnya sebagai langkah pencegahan.

“Sebelum sesuatu produk makanan sampai kepada pengguna, pihak pengeluar perlu periksa dulu peringkat mana produk nak dikeluarkan.

“Jika kilang itu memproses nuget ayam bersalut, mereka perlu ada ‘in house QC’ kerana tiada toleransi dalam soal bakteria itu,” katanya.

Menurutnya, kit berkenaan sudah pun selesai peringkat prakomersialan manakala syarikat akan mengeluar dan memasarkan produk untuk pasaran tempatan dan luar negara.

“Kit ini menarik perhatian ramai negara luar seperti Indonesia, Vietnam, Iran dan Russia kerana harganya berpatutan.

Kit ini mirip seperti alat ujian kehamilan yang terdapat di pasaran.

“Sampel yang disediakan hanya perlu dititiskan pada ruangan disediakan dan keputusan akan diperoleh kurang dari 15 minit.

“Dua garisan akan terbentuk iaitu garisan kawalan ‘C’ dan garisan ujian ‘T’. Jika sesuatu sampel itu mengandungi Salmonella, kedua-dua garisan ‘C’ dan ‘T’ akan terbentuk.

“Manakala bagi sampel yang negatif, hanya garisan ‘C’ saja yang terbentuk,” katanya.




0 ulasan:

Catat Ulasan

Setiap ulasan pengguna admin tidak akan bertanggung jawab.

Best Viewed With Firefox