Metanol Sebagai Bahan Api (Petrol)


SKUDAI – Pusat Penyelidikan Teknologi Membran (AMTEC) dari Fakulti Kejuruteraan Petroleum dan Tenaga Boleh Diperbaharui, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya menghasilkan teknologi ‘Speek-Nanoclay Membrane’ sebagai bahan api mesra alam.

Ketua Penyelidik, Juhana Jaafar berkata, teknologi yang dihasilkan itu menggunakan cecair metanol bagi menggantikan fosil sebagai bahan api untuk menjana kuasa tenaga yang jauh lebih murah dan mudah didapati.

“Cecair metanol yang digunakan adalah pada tahap kepekatan serendah satu molar dan bersifat boleh diperbaharui bagi mengelakkan masalah kekurangan sumber.

“Teknologi ini sesuai digunakan pada pelbagai jenis kenderaan kerana tidak membebaskan sebarang gas toksid sebaliknya hanya melepaskan wap air,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Katanya, mereka turun menjalankan penyelidikan menghasilkan membrane berasaskan tanah liat bagi memastikan penguraian sepenuhnya bahan api metanol kepada tenaga.

“Hanya 40 peratus daripada bahan api komersil yang digunakan hari ini dapat dijana menjadi tenaga manakala selebihnya dilepaskan menjadi gas toksik yang menyebabkan pencemaran udara.

“Dengan adanya teknologi ini berjaya memisahkan 100 peratus bahan api metanol kepada tenaga yang dapat mengelakkan pembaziran dan kerugian bahan api,” katanya.

Juhana berkata, penyelidikan sejak tahun 2003 itu turut memenangi beberapa anugerah di peringkat antarabangsa selain turut berjaya menarik minat syarikat pengeluar kenderaan terkemuka.

“Ketika ini kami masih dalam proses untuk menambah baik teknologi ini dan menjangkakan untuk menghasilkan prototaip dalam tempoh dua tahun lagi.

“Kami juga yakin teknologi ini akan berjaya dikomersialkan secara meluas dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah AMTEC, Dr Hafiz Dzarfan Othman berkata, kumpulan penyelidikan itu turut merancang menghasilkan sel telefon bimbit berasaskan teknologi sama bagi memanjangkan tempoh hayat penggunaan telefon.

“Melalui teknologi ini pengguna tidak perlu lagi menggunakan tenaga elektrik untuk mengecas sel bateri telefon bimbit masing-masing.

“Mereka hanya perlu menukar cip berasaskan metanol yang jauh lebih murah dan tahan lama,” katanya.





0 ulasan:

Catat Ulasan

Setiap ulasan pengguna admin tidak akan bertanggung jawab.

Best Viewed With Firefox