Penurap Teknologi Hijau


Industri pemprosesan minyak kelapa sawit mengeluarkan berjuta tan sisa buangan setahun termasuk serat kelapa sawit dan klinker (tandan kelapa sawit serta hampas buah yang dibakar).
Pengeluaran sisa buangan turut menjejas alam sekitar.
Sektor padi negara turut mengeluarkan bahan buangan dikenali sekam dan hanya dimanfaatkan industri tembikar.

Dalam menyelesaikan masalah sisa buangan itu, pelajar Kolej Vokasional Slim River, Perak, menghasilkan produk inovasi daripada sekam padi, serat kelapa sawit dan klinker dikenali batu penurap berteknologi hijau ‘G-TPB’. 

Produk inovasi bahan terbuang pertama di dunia itu hasil gabungan idea tiga pelajar dari Pasukan Reka Cipta Kolej Vokasional Slim River membabitkan Abdul Muiz Zulkifli, 16, Muhammad Fadlillah Othman, 16, dan Siti Noorafiqa Abdul Latif, 16.  

Hasil inovasi mereka memenangi Anugerah emas Saintis Muda anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), anugerah emas anjuran Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Anugerah World Intellectual Property Organization sempena Hari Intelek Negara, Perbadanan Hak Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Terbaru produk itu merangkul pingat emas dan anugerah khas nilai komersial terbaik sempena Ekspo Inovasi Malaysia (MIExpo), UPM Abdul Muiz berkata, industri kelapa sawit banyak mengeluarkan bahan terbuang.

“Produk kelapa sawit orang buang dan tandannya tidak buat apa-apa. Jadi kita ambil dan menghasilkan produk baru berasaskan serat kelapa sawit dan tandan.
“Kita juga menggunakan sekam padi kerana ia silika selulosa bagi mengelak terbakar.

“Serat kelapa sawit memberi tekanan dan memampatkan bahan-bahan utama bahan berkenaan,” katanya.

Katanya, idea menghasilkan produk berkenaan bagi mengurangkan sisa buangan yang dikeluarkan kilang pemprosesan kelapa sawit berdekatan sekolah mereka.

“Ada mencadangkan kami mengolah sisa buangan kelapa sawit dan sekam padi kepada produk bermanfaat.

“Dari situ, kami berbincang bersama guru untuk menyelesaikan masalah berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, pelajar Teknologi Pembinaan Bangunan kolej itu turut berdepan cabaran menggunakan batu pijak untuk melakukan kerja kursus.

“Batu berkenaan sangat berat bagi pelajar untuk menjalankan kerja kursus, selain sukar untuk mencantumkan struktur yang berat,” katanya.

Berdasarkan situasi itu mereka menggunakan serat kelapa sawit, sekam padi dan klinker untuk menyelesaikan masalah dihadapi.

Berbanding penghasilan batu bata secara konvensional, kaedah pemanasan bahan berkenaan hanya menggunakan cahaya matahari.

“Relau digunakan untuk membakar batu bata dan mengeringkannya. Jadi kami tidak mahu bakar kerana enggan menggunakan bahan kayu api,” katanya.

Dari aspek ketahanan, bahan yang dihasilkan lebih mampat berbanding bata konvensional diguna ketika ini.

“Ujian mampatan sudah dilaksanakan di Politeknik Malaysia. Didapati produk kami mempunyai ketumpatan lebih tinggi dengan kekuatan mampatan 12 hingga 14 newton.

“Berbanding bata simen, kemampatan antara tujuh hingga 10 newton. Bata simen tidak mampat kerana pasir digabungkan dengan simen.

“Sedangkan bata yang kami hasilkan bercantum dan kurang berisiko untuk patah,” katanya.

Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak juga menjadi lokasi menguji kepuasan pelanggan terhadap produk bata dihasilkan.

“Bata juga menggunakan konsep ‘interlock’ dan ia tidak menggunakan simen untuk mencantumkannya. Dibandingkan batu-bata biasa, simen diperlukan untuk mencantumkannya,” katanya.





0 ulasan:

Catat Ulasan

Setiap ulasan pengguna admin tidak akan bertanggung jawab.

Best Viewed With Firefox