Cetak Model Otak Guna Teknologi 3D



KUALA LUMPUR - Pasukan penyelidik Universiti Malaya (UM) antara perintis yang berjaya menggunakan teknologi tiga dimensi (3D) untuk mencetak model otak yang realistik bagi membantu pakar bedah saraf berlatih teknik pembedahan.

Model otak itu memberi peluang kepada pakar bedah menjalani latihan secara 'hands-on' kerana model tersebut adalah simulasi keadaan patologi pesakit sebenar.

Pensyarah UM dan juga pakar bedah saraf Dr M. Vicknes Waran berkata Pusat Bioperubatan dan Integrasi Teknologi UM (CBMTI) bersama-sama para penyelidik mengambil masa lima tahun untuk menyelidik dan membangun prototaip 3D otak.

"Model yang mempunyai ciri-ciri anatomi tepat dengan entiti patologi akan meningkatkan pengalaman latihan pakar bedah saraf sebagai model alternatif kepada mayat dan pesakit sebenar," katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Dr Vicknes Waran berkata penggunaan mayat juga tidak dibenarkan di negara ini atas faktor sensitiviti agama, manakala pesakit sebenar pula sukar diperoleh kerana mereka lazimnya keberatan dijadikan bahan kajian, terutama membabitkan pembedahan besar.

Replika yang dihasilkan adalah berlapis-lapis dan bertekstur menyamai pelbagai struktur tisu, daripada kulit sehingga ke tulang serta otak dan tumor, yang disasarkan untuk kegunaan pakar bedah bagi latihan peringkat lanjutan.

Replika boleh diguna untuk melatih pakar bedah menjalankan pelbagai peringkat pembedahan daripada awal sehingga selesai prosedur menggunakan peralatan pembedahan sebenar.

Model otak 3D yang dipatenkan itu terdiri daripada dua bahagian iaitu satu bahagian meliputi seluruh kepala manakala satu lagi menunjukkan kedudukan tumor.

Bahagian kedua itu diperbuat daripada pelbagai material yang menyerupai kulit, tulang, dura mater, tumor dan tisu otak normal. Pada bahagian inilah pembedahan akan dijalankan.

Berbeza bahagian pertama yang boleh diguna banyak kali, bahagian kedua ini bersifat pakai buang.

Untuk bahagian pertama, kosnya sekitar US$3,000 (US$1 = RM3.2), manakala bahagian kedua pula kira-kira US$500 bagi setiap keping. Sehari sebanyak 16 keping boleh dihasilkan.

Setakat ini pasukan itu telah mengadakan tiga bengkel di ibu negara untuk mendedahkan produk berkenaan kepada sektor perubatan, dengan sebahagian kos dibiaya oleh UM dan juga Cradle Fund Sdn Bhd, sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan, selain menerima sokongan geran penyelidikan berimpak tinggi UM.

Pasukan itu berhasrat mengadakan antara enam dan 10 bengkel lagi tahun ini di Malaysia dan mereka juga diundang mengadakan bengkel serupa di United Kingdom, Thailand dan India. Dr Vicknes Waran berkata usaha mendedahkan produk itu kepada dunia amat kecil berbanding negara lain termasuk Singapura yang membelanjakan jutaan dolar untuk membangunkan pencetakan menerusi 3D.



0 ulasan:

Catat Ulasan

Setiap ulasan pengguna admin tidak akan bertanggung jawab.

Best Viewed With Firefox