SIRIM - Sensor Pengesan Denggi

Wabak denggi bukan satu ancaman yang boleh dipandang ringan kerana boleh meragut nyawa.

Sebanyak 31,170 kes demam denggi dengan 63 kematian dilaporkan di seluruh negara dari Januari hingga 9 November lepas berbanding 18,679 kes membabitkan 32 kematian pada tempoh sama tahun lepas.

Itu senario terkini tetapi kebimbangan terhadap peningkatan kes harus disusuli dengan apa juga langkah persediaan menghadapinya.

Antaranya ialah menerusi pencegahan awal membersihkan kawasan daripada tempat pembiakan, melakukan semburan asap manakala mereka yang telah mempunyai simptom perlu disahkan supaya boleh menerima rawatan.

Bagaimanapun, berdasarkan kaedah ketika ini, seseorang yang yang disyaki hanya boleh disahkan positif denggi selepas empat hari yang mana boleh mengancam nyawa sekiranya lambat mendapat rawatan.

Sehubungan itu, satu kaedah ringkas dan pantas perlu diperkenalkan yang mana seseorang boleh disahkan mengidap demam denggi dalam masa yang cepat.

Penyelidikan pernah dijalankan di Universiti Sains Malaysia (USM) yang menghasilkan sejenis kit untuk mengesan kes-kes denggi di kalangan mereka yang menunjukkan tanda-tanda atau simptom.

Bagaimanapun usaha sekumpulan penyelidik pelbagai institusi penyelidikan untuk mencari kaedah terpantas mengesan penyakit demam denggi bermula dua tahun lepas diharap dapat memberi anjakan paradigma kepada usaha memodenkan sektor perubatan tempatan secara berperingkat.

Antara yang terlibat ialah Pusat Penyelidikan Bioteknologi Perindustrian (IBRC) SIRIM Berhad, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Kumpulan ini memulakan penyelidikan menghasilkan biosensor untuk pengesanan denggi bermula 1O ktober 2011 menerusi dana Nanoteknologi Direktorat (NND) yang berjumlah RM369,000 selama dua tahun. Penyelidikan tersebut kini mencapai 70 peratus untuk siap.

Menurut seorang penyelidik dari IBRC, Rafidah Saadun, objektif penyelidikan tersebut ialah untuk membangunkan teknologi mengesan denggi menggunakan kaedah penskrinan terpantas.

"Kita tahu kebiasaannya pesakit yang diserang virus denggi akan mengambil masa selama empat hari baru dapat di kesan.

"Oleh itu kami membangunkan satu kaedah penskrinan yang pantas yang boleh mengambil masa lebih cepat untuk mengesan virus berkenaan, dan mengesahkannya sebagai denggi menerusi satu cip biosensor," katanya ketika ditemui di IBRC SIRIM , Shah Alam baru-baru ini

Menghuraikan lebih lanjut beliau berkata, terdapat permintaan dalam perubatan untuk pembangunan kaedah diagnosis peringkat awal yang lebih berkesan, mudah dan kos efektif bagi saringan penyakit semasa seperti denggi.

Katanya, pembangunan kaedah tersebut amatlah berguna di klinik, hospital, farmasi mahupun untuk kegunaan peribadi di rumah.

Diagnosis peringkat awal berdasarkan gejala jangkitan virus ini amatlah sukar kerana kesan jangkitan denggi menunjukkan kesan yang sama dengan serangan virus influenza, campak, malaria, demam kuning dan jangkitan virus lain.

Tambahan pula, ujian ELISA untuk mengesan jenis-jenis antibodi IgG dan IgM dari jangkitan virus denggi boleh didapati tetapi malangnya keputusan ujian tersebut sering bertindih dengan keputusan ujian dengan flaviviruses lain dan juga hanya boleh dilakukan selepas lima hari jangkitan untuk mendapatkan tindak balas imun yang mencukupi bagi penghasilan antibodi untuk ujian tersebut.

Situasi tersebut dilihat melambatkan diagnosis terhadap pesakit dengan jangkitan denggi yang teruk seperti contohnya komplikasi pendarahan yang cenderung kepada kematian pesakit tersebut.

Menurut Rafidah lagi, bagi menjalankan penyelidikan tersebut, jujukan pengesan (probe) telah dihasilkan semula daripada salah satu serotaip (jenis) virus denggi.

Jujukan pengesan yang terdiri daripada tiga jujukan asid nukleik peptida (PNA) berbeza diwakili oleh jujukan yang berpadanan, jujukan tidak berpadanan dan jujukan single mismatch digunakan untuk mengesan kehadiran gen virus denggi dari sampel darah pesakit.

Pendekatan yang digunakan ialah teknik molekul iaitu memilih gen virus denggi sendiri daripada yang sedia ada iaitu empat jenis atau serotaip yang memang dikategorikan sebagai virus denggi.

Kumpulannya, kata Rafidah menggunakan salinan jujukan virus daripada yang sedia ada untuk dijadikan pengesan atau prob untuk menghasilkan biosensor berkenaan.

Prob tersebut akan bertindak sebagai pengesan apabila sampel darah pesakit yang mempunyai antigen atau protein selepas DNAnya diekstrak untuk menentukan sama ada darah tersebut mempunyai virus denggi atau sebaliknya.

"Prob yang terdiri daripada PNA bertindak sebagai pengesan akan dipegunkan pada permukaan slaid kaca," katanya.

Seorang rakan penyelidik Samsulida Abdul Rahman berkata, beliau memanfaatkan teknik yang dipelajari selama tiga bulan di Institut Penyelidikan Biosains dan Bioteknologi (KRIBB), Korea yang mana pengubahsuaian permukaan slaid kaca dilakukan supaya pemegunan prob di atas slaid kaca tersebut dapat dijalankan.

"Kita pegunkan dan kemudian letakkan sasaran DNA itu sama ada DNA denggi adalah sasaran kepada pengesan tersebut," ujarnya.

Katanya, nanopartikel gold enhancer digunakan untuk mendapatkan saiz biocip yang sesuai bagi penglihatan secara langsung oleh mata kasar.

Penyelidikan tersebut sedang dalam proses untuk pemegunan dan pencirian DNA sasaran.

Apabila siap, sensor tersebut boleh dimanfaatkan di hospital dan juga oleh orang awam.



1 ulasan:

  1. Apa benda tu Sensor Pengesan Denggi....
    www.sst.com.my

    BalasPadam

Setiap ulasan pengguna admin tidak akan bertanggung jawab.

Best Viewed With Firefox