USM Cipta Pengganti Mentega Koko



GEORGETOWN - Sepasukan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta pengganti mentega koko (CBR) yang dihasilkan daripada lemak minyak biji mangga bersama adunan stearin sawit.

Ketua penyelidik daripada Sekolah Teknologi Industri, Prof Dr Ir Mohd Omar Ab Kadir berkata, mentega koko adalah lemak yang mempunyai permintaan amat tinggi, tetapi pengeluarannya di dunia semakin menurun akibat masaalah penanaman.

Menurut Lembaga Koko Malaysia, kawasan tanaman koko berkurangan kepada 10,000 hektar daripada 12,000 hektar dalam tempoh 2010 hingga 2013," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Di samping itu, kata beliau harga koko ketika ini juga mahal iaitu RM10,000 setan, berikutan kekurangan bekalan dan oleh itu, CBR daripada lemak biji mangga boleh digunakan sebagai satu daripada opsyen dalam industri pembuatan coklat, gula-gula dan kosmetik.

Dr Mohd Omar berkata penyelidikan yang bermula pada 1990 itu menunjukkan bahawa CBR yang dihasilkan daripada lemak biji mangga dan adunan stearin sawit melalui karbon dioksida superkritikal (SC-CO2), adalah sama dari segi tekstur dan rasa dengan mentega koko asli.

Menurut Dr Mohd Omar, pasukan penyelidiknya akan bekerjasama dengan Sekolah Sains Kesihatan USM untuk menguji dan menggunakan CBR dalam pengeluaran makanan serta penghasilan produk akhir dengan menggunakan CBR daripada lemak biji mangga.

Katanya, penggunaan lemak biji mangga adalah praktikal bagi CBR kerana prosesnya bersifat mesra alam, tidak memerlukan kos pengeluaran yang tinggi dan mempunyai bekalan berterusan.

Beliau berkata stearin sawit yang diperoleh daripada bungkil kelapa sawit, yang lazimnya dieksport sebagai makanan haiwan, berpotensi untuk dijadikan serat kelapa sawit dan seterusnya dikisar menjadi tepung pembuat roti.

Kata Dr Mohd Omar beliau sedang menjalankan penyelidikan untuk menghasilkan satu sistem menggunakan SC-CO2 bagi menggunakan semula dan mengitar semula sisa pepejal klinikal untuk mengurangkan kos operasi hospital dan klinik.

Menurut beliau penggunaan proses SC-CO2 bukan sahaja boleh mensterilkan sisa pepejal klinikal, tetapi juga membunuh bakteria. - Bernama



0 ulasan:

Catat Ulasan

Setiap ulasan pengguna admin tidak akan bertanggung jawab.

Best Viewed With Firefox