Malaysia Hadir Kereta Pemanduan Automatik Menjelang 2030


Bagi mencapai sasaran sifar kemalangan maut, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mencadangkan sistem 'Autonomous Driving' atau teknologi kenderaan pandu sendiri diaplikasikan dalam semua kenderaan di negara ini menjelang tahun 2030.

Sekiranya sistem itu dilengkapi di dalam semua kenderaan, ia dijangka mampu membantu pemandu lebih berhemah di atas jalan raya.
Berdasarkan kajian yang dilakukan, hampir 80 peratus kemalangan yang berlaku dalam negara adalah berpunca daripada faktor kecuaian pemandu, antaranya tidak mematuhi had laju, mengantuk ketika memandu, tidak bertimbang rasa dan mabuk.

Pertambahan jumlah kenderaan, faktor kepesatan pembangunan dan teknologi juga antara punca yang mempengaruhi kemalangan dan paling membimbangkan apabila menyebabkan kematian.
Ramai yang masih menggunakan telefon ketika memandu selain tekanan jiwa ketika berhadapan dengan kesesakan lalu lintas menyebabkan ramai yang tidak sabar lantas hilang fokus memandu.

Dalam usaha menangani isu itu, kepesatan teknologi seperti kewujudan sistem 'autonomous driving' dilihat mampu membantu pemandu ketika penat atau cuai, seterusnya mengelak berlakunya kemalangan.

Teknologi ini telah ada di Sweden dan German, ia mampu memacu kenderaan secara automatik ketika pemandu hilang fokus dan boleh membantu memberi isyarat sekiranya akan berlaku pelanggaran.

Sistem pintar itu meliputi kebolehan kenderaan untuk mengesan persekitaran, sistem komputer dan kawalan GPS (Global Positioning System).

Malaysia tidak boleh menolak perkembangan teknologi dalam bidang automatif, jadi antara persediaan MIROS bagi mengawal kelemahan manusia ialah melihat kepada perkembangan aplikasi pintar ini untuk digunakan kelak.





-- BERNAMA

0 ulasan:

Catat Ulasan

Setiap ulasan pengguna admin tidak akan bertanggung jawab.

Best Viewed With Firefox